JURUTEKNIK MENGAKU TIDAK BERSALAH PUKUL ISTERI

25/06/2024 06:12 PM

PORT DICKSON, 25 Jun (Bernama) -- Seorang juruteknik yang rakaman video perbuatan dia memukul isterinya menjadi tular di media sosial bulan lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya.

Mohd Ridwan Mat Nasir, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu keatas isterinya yang berumur 38 tahun di sebuah hotel pada 9.50 pagi, 24 Mei lepas, dan bagi kesalahan itu dia boleh dihukum di bawah Seksyen 352A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Insp Nor Asiah Mahmud menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu isterinya itu sehingga kes selesai.

Namun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) A Krishnaveni yang mewakili Mohd Ridwan memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,500 dengan alasan anak guamnya itu yang bekerja di Syarikat Air Selangor merupakan seorang yang sangat bertanggungjawab.

"Beliau akan dijamin oleh kakaknya yang bekerja sebagai cef dan turut mempunyai tanggungan sendiri. Dalam keadaan ini, beliau tidak akan mengganggu isterinya dan saya percaya tiada risiko beliau akan melarikan diri," katanya.

Uthman kemudian menetapkan wang jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai, dan menetapkan 23 Julai ini untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan