SAMAN SIVIL SRC: ISMEE SAMBUNG BERI KETERANGAN 29 JULAI

25/06/2024 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Perbicaraan kes saman sivil AS$1.18 bilion dikemukakan SRC International Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini akan bersambung pada 29 Julai.

Peguam bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bahawa pihak pembelaan akan memanggil semula bekas pengarah syarikat SRC Tan Sri Ismee Ismail untuk disoal balas.

Bagaimanapun, Ismee kini berada di luar negara dan hanya akan kembali pada 30 Jun ini dan sehubungan itu, mahkamah menangguhkan perbicaraan kepada 29 Julai.

Ismee sebelum ini telah disoal balas oleh seorang lagi peguam Najib, Harvinderjit Singh, bagaimanapun Muhammad Shafee memohon beliau dipanggil semula kerana perlu menanyakan beberapa soalan lanjut.

SRC, di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balilk kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.

--BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan