TOMMY THOMAS GAGAL BATAL SAMAN SHAHRIR SAMAD, PERBICARAAN BERMULA PADA 2026 

03/07/2024 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) --  Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Tan Sri Shahrir Ab Samad terhadap beliau dan tiga lagi atas dakwaan melakukan pendakwaan berniat jahat. 

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa kes itu akan menjalani perbicaraan penuh selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026. 

Beliau turut menetapkan 11 Sept ini bagi pengurusan kes.

Perkara itu disahkan oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir ketika ditemui Bernama selepas prosiding dalam kamar.

Pada Disember lepas, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu memfailkan saman menamakan Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.

Saman itu adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas, yang menjadi AG dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020, dalam afidavitnya telah menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai "tidak boleh dipertahan."

Beliau berkata budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksana selepas Pendakwa Raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasat seperti SPRM.

Thomas berkata beliau telah meletak jawatan pada 28 Feb 2020 dan pada 26 Julai 2022, perbicaraan jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Jan 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan sebanyak RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa ia tidak berhasrat untuk meneruskan kes itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan