LELAKI MAUT TERTUSUK SABIT SAWIT

04/07/2024 04:39 PM

IPOH, 4 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas belakang badannya tertusuk sabit sawit ketika menaiki motosikal pengangkut di Parit Sulaiman, Kampung Matang Gerdu dekat Bagan Serai semalam. 

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Juna Yusoff berkata mangsa berusia 44 tahun berasal dari Kampung Parit Hussain, Bagan Serai itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 6.58 petang daripada orang awam yang memaklumkan mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dengan muatan membawa sawit telah hilang kawalan sehingga menyebabkan sabit pada galah sawit yang dibawa bersamanya tertusuk belakang mangsa," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fazri Abdul Aziz di talian 05-7212222," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan