KANAK-KANAK 10 TAHUN PANDU KERETA: POLIS AMBIL KETERANGAN IBU

05/09/2024 11:33 AM

SEREMBAN, 5 Sept (Bernama) -- Polis telah mengambil keterangan ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang memandu kereta sehingga mengakibatkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata wanita berusia lingkungan 40-an itu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, semalam.

“Kita akan panggil bapa kanak-kanak itu pula dalam waktu terdekat, ketika ini bapanya yang juga berumur dalam lingkungan 40-an itu sedang menerima rawatan kerana sakit jantung,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, kanak-kanak yang memandu kereta jenis Toyota Corolla bersama jirannya berusia sembilan tahun terbabas ketika melalui selekoh dan merempuh sebuah van yang diparkir di bahu jalan sebelum van itu melanggar sebuah kereta di hadapan.

Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohamad Hatta berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 111 akta sama, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan