SPRM TAHAN DUA PENGUAT KUASA MINTA RASUAH LINDUNG PEKERJA ASING

05/09/2024 07:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai agensi penguat kuasa yang disyaki meminta rasuah sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja warga asing di Sri Aman, Sarawak, semalam.

Sumber SPRM memaklumkan kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara pukul 7 dan 8.30 malam di sebuah restoran makanan segera selepas dipercayai meminta rasuah kira-kira RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat.

Mereka dipercayai meminta wang itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap beberapa pekerja warga asing di syarikat berkenaan yang disyaki tidak mempunyai permit bekerja yang sah.

“Perintah reman sehingga 10 Sept ini terhadap kedua-dua suspek lelaki itu telah dikeluarkan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, pagi tadi,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Sarawak Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

TAG: SPRM, tahan, reman, penguat kuasa, pekerja asing, minta rasuah

 


MASJB SNS AZH


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan