WANITA, ANAK ANTARA TIGA MAUT DALAM KEMALANGAN DI MARAN

09/09/2024 03:31 PM

KUANTAN, 9 Sept (Bernama) -- Seorang wanita dan anak perempuannya antara tiga individu yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 34 Jalan Maran-Bandar Jengka, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, Perodua Myvi dan MPV Toyota Avanza itu pada 8.19 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza dipandu Noraini Ali, 42, dan dinaiki anaknya Aufa Medina Azuan, 7, dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka menghala ke Bandar Maran telah bertembung dengan Toyota Avanza dinaiki empat individu yang dipercayai masuk ke laluan bertentangan.

“Akibat kejadian itu, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita dari arah Bandar Jengka ke Bandar Maran tidak sempat mengelak dan melanggar Toyota Avanza yang melintang di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kemalangan itu, Noraini dan penumpang Toyota Avanza, Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim, 13, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Aufa Medina meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Jengka 2.

Pemandu kereta Toyota Avanza seorang lelaki berusia  28 tahun dan dua penumpangnya masing-masing 13 tahun cedera di kaki, kepala dan muka, manakala pemandu wanita kereta Perodua Myvi berusia 34 tahun hanya cedera ringan.

Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Temerloh serta Jengka dan kemalangan terbabit sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan