'ABANG BAS' DIDAKWA LAKUKAN AMANG SEKSUAL TERHADAP DUA KANAK-KANAK

10/09/2024 04:23 PM

MUAR, 10 Sept (Bernama) -- Pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid sekolah rendah yang dibawanya dan merujuk kanak-kanak perempuan itu sebagai 'crush'  dan kesayangan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Lelaki berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak termasuk seorang anak saudara perempuannya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang berusia empat tahun di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam, Kluang, antara pukul 5 hingga 6 petang, April hingga bulan ini. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. 

Pertuduhan kedua pula, lelaki bujang itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan memerhati murid perempuan berusia sembilan tahun secara berulang kali di lokasi dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Hakim Sayani Mohd Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu kedua-dua mangsa serta saksi pendakwaan hingga kes selesai. 

Mahkamah menetapkan 10 Okt untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Abdul Ghafar Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain.

Khamis lepas seorang pengguna media sosial X berkongsi tangkap layar hantaran TikTok milik seorang pemandu bas sekolah yang merujuk seorang murid perempuan sebagai crush dan ‘kesayangan’. 

Susulan itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas berkenaan.

Pada 6 Sept, polis menahan pemandu bas itu dan dia direman selama lima hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan