DUA PENJAWAT AWAM TERMASUK SETIAUSAHA BAHAGIAN KEMENTERIAN DISYAKI SELEWENG DANA, DIREMAN

10/09/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Dua penjawat awam termasuk seorang Setiausaha Bahagian sebuah kementerian bergelar Datuk direman, bagi membantu siasatan kes menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM400,000.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan SPRM, mengeluarkan reman empat hari terhadap pegawai kanan berusia 50-an manakala, seorang lagi individu berusia 30-an direman sehingga esok.

“SPRM turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga penjawat awam tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata individu bergelar Datuk itu yang bertanggungjawab mengawal selia sebuah agensi Badan Berkanun Kerajaan ditahan lewat malam tadi, manakala dua yang lain merupakan pegawai khas dan pemandu beliau dan kesemuanya ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan sebuah program untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.

“Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan tersebut dan mengeluarkan wang peruntukan tersebut secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudiannya digunakan untuk keperluan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan