MAHKAMAH RAYUAN TOLAK PERMOHONAN MUHYIDDIN UNTUK SEMAK KEPUTUSAN KEMBALIKAN PERTUDUHAN

11/09/2024 01:50 PM

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa yang membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Panel lima anggota diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi dalam keputusan sebulat suara berpendapat bahawa panel terdahulu mempunyai bidang kuasa yang diperlukan untuk mendengar dan mengadili rayuan pihak pendakwaan.

"Sehubungan itu permohonan bagi semakan diketepikan," Justice Azizah said.

Hakim lain dalam panel itu terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Ini bermakna Muhyiddin akan dibicarakan bagi pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Azizah berkata pemohon (Muhyiddin) berhujah bahawa rayuan responden (pendakwaan) kepada Mahkamah Rayuan itu adalah ia tidak lengkap kerana tidak memenuhi keperluan statutori Subseksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964, dan mahkamah ini melampaui bidang kuasanya apabila mendengar dan meluluskan rayuan itu pada 28 Feb.

"Pemohon berhujah bahawa keputusan hakim Mahkamah Tinggi dalam menggunakan bidang kuasa sedia ada untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya tidak termasuk dalam perenggan 50(1)(b) CJA 1964 kerana hakim itu tidak menjalankan bidang kuasa penyemakannya berhubung sebarang perkara jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen," katanya.

Bagaimanapun Azizah berkata mahkamah berpendapat tafsiran sedemikian akan membawa kepada satu perkara yang tidak masuk akal yang tidak seperti dimaksudkan oleh Parlimen.

“Sekiranya pemohon betul bahawa seharusnya tiada rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi menolak pertuduhan dan membebaskan pemohon, ia bermakna Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa tanpa had untuk membatalkan pertuduhan jenayah dan membebaskan tertuduh tanpa perbicaraan.

"Selanjutnya, ia akan membawa kepada situasi yang tidak masuk akal apabila pihak pendakwaan dibiarkan tanpa sebarang remedi kerana kewajaran dan ketepatan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut tidak boleh dicabar," katanya.

Azizah seterusnya berkata Subseksyen 50(1) tidak boleh dibaca secara berasingan dan bahawa semua peruntukan berkaitan mengenai kuasa penyemakan Mahkamah Tinggi mesti dibaca bersama secara keseluruhan dan ditafsirkan secara harmoni antara satu sama lain bagi mengelakkan kekaburan atau tidak masuk akal dalam pemakaian undang-undang. 

"Atas sebab-sebab yang disebutkan, kami berpendapat bahawa rayuan responden (pendakwaan) terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang arif adalah dalam lingkungan Subseksyen 50(1) CJA," katanya.

Muhyiddin, 77, menfailkan permohonan pada 27 Mac lepas bagi menyemak keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan semula empat tuduhan salah guna kuasa.

Pada 28 Feb, panel Mahkamah Rayuan merangkumi Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M Komathy Suppiah membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Muhyiddin telah dilepas dan dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 15 Ogos tahun lepas setelah mendapati empat tuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu kabur dan tidak berasas.

Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu pada masa itu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Peguam Muhyiddin Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji penghakiman itu sebelum mengambil langkah seterusnya.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan