JSJN NEGERI SEMBILAN LELONG BARANG KES HAMPIR RM100,000

11/09/2024 06:34 PM

SEREMBAN, 11 Sept (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan melelong barang kes yang dirampas dan disita membabitkan pengedaran dadah di negeri itu dengan hasil lebih RM99,000. 

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata aset dilupuskan itu telah selesai perbicaraan dan diperintahkan oleh mahkamah untuk dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.

"Lelongan ini melibatkan 50 barang kemas pelbagai bentuk, empat utas jam tangan dan tujuh kenderaan dengan nilai simpanan RM57,175. Hasil lelongan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memperoleh RM99,981.50 dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan. 

"Hasil lelongan ini merupakan cara kerajaan mendapatkan pulangan semula harta pengedaran dadah yang diperoleh secara salah dan tidak sah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, JSJN negeri turut menahan 5,696 individu bersabit pelbagai kesalahan dadah serta menyita aset sejumlah lebih kurang RM4 juta. 

"Kita tidak pernah berhenti melaksanakan penguatkuasaan terhadap pengedar dadah dan terus menyita harta mereka supaya tidak dapat hidup mewah hasil daripada pengedaran dadah,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan