DAKWAAN SAMKA BERKENAAN UPNP TIDAK BERASAS

11/09/2024 10:48 PM

KUANTAN, 11 Sept (Bernama) -- Pahang menafikan dakwaan bahawa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membakar dan memusnahkan struktur yang menempatkan pekerja dan peralatan pekebun haram di dalam kawasan yang terlibat dengan pencerobohan haram di Raub.

Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook Save Musang King Alliance (SAMKA) semalam, seolah-olah telah memberikan gambaran kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa dan membuat ugutan melalui cara tidak berperikemanusiaan.

“Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas dan cubaan untuk memainkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.

“Kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali akan mengambil tindakan di luar prinsip terbabit,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kerajaan negeri dalam hal ini, sentiasa mematuhi penghakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan dan perintah Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya yang berkuat kuasa.

Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri akan kekal menegakkan undang-undang dan bertekad melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan ditangani sebaik mungkin.

“Saya akan memastikan siasatan menyeluruh tuduhan SAMKA ini dan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap cubaan untuk memburukkan imej kerajaan negeri. Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan cubaan memfitnah tidak bertanggungjawab sebegini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan