GUNA LOGO HALAL TIDAK SAH, KILANG PROSES LAKSA, KUETIAU DISERBU

19/09/2024 02:14 PM

IPOH, 19 Sept (Bernama) -- Sebuah kilang memproses makanan di Sungai Siput di sini diserbu semalam selepas disyaki menggunakan logo halal tidak sah tanpa kebenaran pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan itu dijalankan oleh pihaknya dengan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. 

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat logo halal pada bungkusan produk laksa dan kuetiau keluaran kilang itu serta dipercayai dijual di sekitar negeri ini dan Pulau Pinang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemilik perniagaan gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata sebanyak 3,020 unit produk laksa dan kuetiau yang siap dibungkus dan tiga gulungan bekas plastik tertera logo halal tidak sah yang digunakan untuk tujuan perdagangan dan dokumen berkaitan telah disita dan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM5,828.50.

Kes disiasat di bawah Perkara 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperakukan mana-mana makanan itu adalah halal.

Selain itu, Kamalludin berkata pihaknya turut  mengesan dua kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 melibatkan kompaun sebanyak RM1,000.

"KPDN mengingatkan kepada peniaga tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran tanpa kebenaran atau melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan