BEKAS ANGGOTA DEDAH DOKTRIN KETAATAN DAN PENGABAIAN PENDIDIKAN GISBH

21/09/2024 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) termasuk kanak-kanak didakwa didoktrin untuk mempercayai bahawa pemimpin mereka dilantik oleh Rasulullah, Imam Mahdi serta guru mursyid dari alam ghaib.

Seorang bekas anggota GISBH mendedahkan bahawa pemimpin mereka juga mendakwa mampu berhubung dengan Rasulullah melalui yaqazah (dalam keadaan sedar) dan segala arahan daripada pemimpin, wajib ditaati sepenuhnya. 

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 36, mendakwa pendidikan di sekolah-sekolah kendalian GISBH menjadi platform untuk menanam ketaasuban ahli terutama dalam kalangan kanak-kanak terhadap pemimpin mereka.

Menurutnya silibus yang dicipta sendiri di sekolah terbabit lebih menekankan kepada kata-kata dan tulisan pemimpin manakala pelajaran lain seperti fardu ain hanya diajar pada tahap asas.

“Pengajaran dalam kelas hanya untuk jangka masa yang pendek dan kadangkala tiada cikgu pun yang mengajar manakala untuk pelajaran lain banyak yang diulang-ulang,” katanya kepada Bernama. 

Dilahirkan dalam keluarga yang mengamalkan ajaran al-Arqam, Ahmad mendedahkan bahawa bapanya adalah antara pemimpin pergerakan itu yang difatwakan haram pada 1994. 

Katanya zaman kanak-kanaknya dilalui di penempatan pergerakan itu di sekitar Perak sebelum dipindahkan ke Rawang, Selangor diikuti Putrajaya, Kedah, Sabah dan Sarawak sebelum ke luar negara iaitu Jordan dan Syria.

Beliau meninggalkan jemaah atau syarikat itu pada 2011 selepas mendapat kesedaran apabila belajar daripada beberapa guru agama yang bukan dalam kalangan ahli syarikat tersebut.

“Saya meninggalkan syarikat berkenaan selepas kematian bekas pemimpin al-Arqam Ashaari Muhammad dan ketika itu syarikat berkenaan dipimpin oleh Ummu Jah yang juga balu Ashaari,” katanya.

Seorang lagi bekas anggota GISBH yang dikenali sebagai Latif mendedahkan ketika bersekolah di bawah kendalian syarikat itu, mereka diajar menggunakan buku yang mengagungkan Ashaari yang digelarkan sebagai Abuya.

“Mereka mengaku sebagai jemaah kebenaran yang akan bersama Imam Mahadi nanti. Jadi semua dah taasub. Proses ni bukan berlaku dalam masa sehari dua tapi sejak zaman al-Arqam,” katanya.

Latif, yang kini berusia 30-an mendakwa pernah belajar di beberapa sekolah GISBH di Pahang, Selangor dan Perak selepas dihantar oleh ibu bapanya yang perkahwinan mereka diatur oleh jemaah tersebut. 

“Sekolah-sekolah itu biasanya kosong dan pelajar sering bermain kerana pelajaran tidak dijalankan secara formal,” katanya yang meninggalkan GISBH selepas mengikut rakannya ke pusat latihan kemahiran kendalian kerajaan ketika berusia 17 tahun dan menyedari kepentingan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dimilikinya ketika itu.

Abu Bakar, 36, pula mendedahkan beliau meninggalkan GISBH pada 2010 setelah menyedari dirinya tidak memiliki pendidikan formal seperti remaja lain.

“Saya tertanya-tanya mengapa saya tidak belajar seperti orang lain tetapi diminta berjuang untuk bertemu Imam Mahadi dan disebabkan rasa ingin tahu yang menebal saya ambil keputusan untuk keluar,” katanya.

Beliau mengakui beberapa kali cuba melarikan diri tetapi ditangkap dan dibawa kembali ke dalam jemaah sehingga ibunya meninggalkan pergerakan itu setelah diceraikan oleh ayahnya atas arahan pemimpin, menyebabkan mereka tidak lagi dicari jemaah.

 Dalam serbuan Op Global pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa  eksploitasi buruh dan seksual. Serbuan itu juga mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan 171 individu termasuk 105 wanita.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan