KPT BERI KERJASAMA KEPADA POLIS JIKA TERDAPAT PENSYARAH, PELAJAR TERLIBAT GISBH

21/09/2024 08:37 PM

LUMUT, 21 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis jika terdapat pensyarah atau pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dengan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ia bagi memastikan IPT bebas daripada sebarang bentuk dakyah dibawa GISBH.

“Perkara ini adalah dalam bidang kuasa polis yang telah bentuk satu pasukan khas bagi melaksanakan tanggungjawab telah diberikan.

“Ia (siasatan) akan melibatkan semua, tak kira sama ada dia pelajar atau pensyarah universiti. Bermakna, tindakan yang diambil adalah secara menyeluruh,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kementerian sekiranya terdapat pensyarah dan pelajar yang terlibat dengan GISBH.

Dalam serbuan Op Global pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini berkata jumlah terkini tangkapan berkaitan serbuan ke atas GISBH adalah seramai 200 orang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan