29 INDIVIDU DIKAITKAN GISBH DIREMAN SATU HINGGA TUJUH HARI

22/09/2024 04:05 PM

SHAH ALAM, 22 Sept (Bernama) -- Seramai 29 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) direman antara satu hingga tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan. 

Permohonan reman ke atas kesemua individu berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun itu dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar Md Subri Hashim dan mereka ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Subang Jaya serta Petaling Jaya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Kesemua individu yang terdiri daripada 13 lelaki dan 16 wanita itu tiba di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 11.30 pagi.

Terdahulu, Polis Kontinjen Selangor menyerbu beberapa rangkaian perniagaan yang sebahagian besarnya dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH dalam satu operasi bersepadu di Bandar Country Homes, Rawang pagi semalam.

Serbuan bermula 6.30 pagi itu melibatkan kira-kira 200 anggota Polis Kontinjen Selangor dengan bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan serta kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semalam dilaporkan berkata Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan manakala 155 suspek terdiri 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.

Razarudin berkata dalam operasi yang turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.

Pada 11 Sept lepas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak serta remaja masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan