AM

JENAZAH IBU FADHLINA SELAMAT DIKEBUMI

16/06/2024 04:50 PM

KAJANG, 16 Jun (Bernama) -- Jenazah ibu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor selamat dikebumikan pada 2.45 petang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal Dalam di sini, hari ini.

Terdahulu jenazah dibawa ke Surau Al Mujahidin, Desa Surada, Bangi di sini untuk dimandi dan dikafan, diikuti solat jenazah yang dipimpin anak kelima arwah iaitu Hazim Faizi Siddiq sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Majlis pengebumian yang berlangsung dalam suasana hujan itu dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara dan kenalan.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada 9.30 pagi tadi di Hospital Serdang.

Siti Zalikhah, 75, yang dilahirkan di Perak adalah balu kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Allahyarham Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil dan mempunyai tujuh orang anak.

Allahyarhamah merupakan ahli Jawatankuasa Panel Kajian Syariah (PKS) di bawah Majlis Fatwa Malaysia dan ahli jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang dipilih oleh Tabung Haji serta seorang peguam syarie dan berpengalaman dalam bidang Undang-undang Keluarga Islam.

Allahyarhamah juga pernah dilantik Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selama empat penggal di bawah dua kepimpinan Presiden ABIM iaitu Anwar dan Dr Siddiq dari 1977 hingga 1985. 

Beliau juga banyak menulis, membentang, dan menterjemah karya-karya tokoh Islam berkaitan isu wanita dan peranannya daripada perspektif Islam serta kaitan antara wanita dan ilmu.

Allahyarhamah juga aktif membentangkan kertas kerja berkaitan isu wanita, Islam, dan ilmu di seminar-seminar peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan