AM

KPDN KELANTAN RANCANG PASANG CCTV DI STESEN MINYAK DI SEMPADAN NEGARA

19/06/2024 02:49 PM

KOTA BHARU, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pemantauan.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata dalam masa terdekat sebagai permulaan, CCTV itu akan dipasang di stesen-stesen terpilih yang dipercayai sering menjadi pilihan penyeludup.

Beliau berkata langkah itu antaranya adalah sebagai langkah mencegah kegiatan pembelian minyak secara berulang yang dibimbangi untuk tujuan penyeludupan.

“Buat masa sekarang, pendekatan KPDN adalah dengan meletakkan anggota penguat kuasa secara statik di beberapa stesen terpilih seperti di Tumpat dan Pasir Mas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azman berkata dengan pemasangan CCTV berkenaan, KPDN dapat membuat pemantauan secara terus dari pejabat dan senang mengambil tindakan jika berlaku penyeludupan.

Mengulas lanjut, Azman berkata perkara itu masih dalam perbincangan dengan syarikat-syarikat minyak dan masih belum dimuktamadkan lagi.

“Setakat ini stesen minyak sudah mempunyai CCTV masing-masing dan sekiranya pemantauan mahu dilakukan, pihak KPDN perlu ke stesen minyak untuk membuat pemantauan khususnya melihat di CCTV stesen.

“Apa yang kita inginkan adalah pemantauan boleh dilakukan daripada pejabat sahaja,” katanya.

Di daerah bersempadan terdapat 46 buah stesen minyak dalam radius 20 kilometer yang menjadi tumpuan penyeludup bahan api berkenaan, tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan