AM

KARNIVAL D'BENDANG SUNGAI RAMBAI SASAR KEHADIRAN 20,000 PENGUNJUNG

19/06/2024 03:27 PM

JASIN, 19 Jun (Bernama) -- Karnival D’Bendang Sungai Rambai 2024 yang akan diadakan di Kampung Parit Penghulu Benteng pada 26 hingga 28 Julai ini menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata karnival yang memasuki tahun kedua penganjuran dan diadakan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) itu menampilkan 40 acara termasuk sukan tradisional.

"Kita juga bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menjadi pengelola pertandingan arca jerami  yang menyasarkan penyertaan 15 kumpulan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

"Karnival ini dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bagi memeriahkan lagi acara, kita menjemput kira-kira 120 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara dan luar negara seperti United Kingdom dan Australia untuk menyertai," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita pada Program Korban dan Kenduri Rakyat anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai di sini hari ini.

Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata berikutan kejayaan penganjuran Karnival D' Bendang tahun lepas yang memberi impak positif, pelbagai kemudahan dan infrastruktur di kawasan sawah padi berkenaan telah dinaik taraf termasuk pelebaran jalan dan tiang lampu.

Beliau berkata karnival itu juga dapat memperkenalkan Sungai Rambai sebagai kawasan agropelancongan yang mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati keindahan panorama dan menyelami keunikan budaya sekali gus meningkatkan sosioekonomi penduduk.

"Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan UPM untuk menjadikan Sungai Rambai ini sebagai kampung angkat dalam menjadikan kawasan ini Kampung Agro atau Kampung Pertanian dengan menjalin kerjasama dalam bidang berkaitan.

"… ini termasuk usaha sama dengan UPM menerusi Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) untuk mewujudkan pusat penyelidikan dan pembenihan hasil ternakan laut seperti udang, ikan dan ketam di Sebatu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan