FOKUS BERNAMA

DR MASTURA ATASI STEREOTAIP GENDER, KINI ANTARA PAKAR ONKOLOGI NEGARA

24/06/2024 09:55 PM
Daripada Muhammad Basir Roslan

Ketika Dr Mastura Md Yusof ditugaskan ke Jabatan Onkologi dan Radioterapi, Hospital Umum Sarawak pada 1999, beliau merupakan satu-satunya pegawai perubatan wanita di situ.

Lima tahun kemudian, semasa beliau menjalani program Sarjana Onkologi Klinikal selama empat tahun di Universiti Malaya, sesetengah daripada senior mengesyorkan agar beliau mengikuti bidang lain “yang lebih sesuai untuk doktor wanita sepertinya.”

“Keadaan ini berlaku di peringkat awal. Semasa saya menyatakan minat dan meminta bantuan dari segi bimbingan serta meminjam bahan bacaan, garis panduan dan buku berkenaan onkologi, mereka (senior) kata bidang onkologi ini tidak sesuai untuk saya. Kata mereka, saya lagi sesuai belajar bidang seperti pediatrik atau ginekologi,” imbau Dr Mastura, 51.  

Beliau berkata komen mereka membuatkan beliau meragui kemampuan diri dalam memenuhi tuntutan pengajian dan pengamalan bidang onkologi, iaitu satu daripada disiplin perubatan yang amat mencabar.  

Namun, di sebalik cabaran dan halangan, termasuk jangkaan masyarakat dan norma budaya yang didepaninya,  anak jati Melaka itu membulatkan tekad untuk terus memburu impian, dan hari ini, Dr Mastura merupakan antara pakar onkologi terkemuka di negara ini.

Beliau kini mengetuai perkhidmatan onkologi di Hospital Pantai Kuala Lumpur serta merupakan pakar perunding onkologi di Subang Jaya Medical Centre, yang berperanan menyelia keseluruhan aspek penjagaan kanser termasuk terapi ubat-ubatan, radiasi serta pelbagai penyelidikan klinikal.

 

DOMINASI LELAKI

Hakikatnya, pada awal 2000-an, bilangan pakar onkologi wanita di negara ini amat kecil, iaitu hanya lima orang daripada 30 pakar yang ada.

Ketika itu juga tidak banyak hospital di negara ini yang mempunyai Jabatan Onkologi dan Radiologi, iaitu hanya empat hospital Kementerian Kesihatan Malaysia, tiga hospital universiti dan 15 hospital swasta.

pic-2

Onkologi juga dilihat sebagai bidang yang didominasi oleh kaum Adam kerana tidak ramai wanita berminat menceburi disiplin tersebut, mungkin kerana cabaran pengajian - onkologi merupakan cabang perubatan yang mengkhususkan pada diagnosis dan rawatan penyakit kanser - yang dilihat tidak mampu ditanggung oleh kaum Hawa.

Ketika ditemui oleh Bernama di sini selepas satu program anjuran Novartis Malaysia, sebuah syarikat penjagaan kesihatan, bagi mengiktiraf sumbangan wanita dalam sektor berkenaan, Dr Mastura berkata ketika bertugas di Hospital Umum Sarawak dari September 1999 hingga Julai 2021, beliau dapati onkologi adalah bidang pengkhususan yang tidak popular dalam kalangan wanita, dan Jabatan Onkologi dan Radioterapi hospital itu sering berdepan kekurangan pegawai perubatan.

“Ketika saya ditugaskan di jabatan itu, saya berusia 26 tahun, baru menamatkan pengajian. Selalunya, pegawai perubatan yang ditempatkan di situ hanya bertahan tiga bulan kerana mereka tidak mampu menangani persekitaran kerja serta stres. Namun, saya cekalkan diri (kerana saya mahu membuat pengkhususan dalam bidang onkologi),” katanya.

Dr Mastura yang melihat perkara itu sebagai peluang keemasan untuk beliau mencabar status quo dan memecahkan stereotaip gender dalam bidang onkologi, yakin wanita ada potensi untuk cemerlang dalam bidang berkenaan. 

 

MENANGANI BIAS

Tambah beliau, di awal kerjayanya, adalah mudah bagi pakar onkologi muda sepertinya untuk patah semangat memandangkan bidang itu kekurangan tenaga kerja, sumber, ubat berinovasi serta fasiliti penjagaan.

“Pernah terlintas di fikiran saya bahawa bidang onkologi ini terlalu mencabar untuk dikuasai oleh doktor junior seperti saya. Akan tetapi, saya juga terfikir tidakkah pelik jika saya biarkan orang lain tentukan potensi dan masa depan saya.

pic-3

"Saya bersyukur kepada Allah kerana meletakkan saya dalam situasi unik serta mencabar, dan seterusnya membuatkan saya nekad untuk menceburi bidang ini kira-kira 24 tahun lalu. Kini saya mahu terus cemerlang,” katanya, menambah kejayaannya itu adalah hasil galakan ayahnya, yang mengajar beliau dan adik-beradik yang lain agar tidak menjadikan gender sebagai halangan ketika mengejar impian masing-masing.

Menurut Dr Mastura, dalam tempoh lebih dua dekad lalu, beliau menyaksikan perkembangan dan kemajuan pesat dalam perkhidmatan onkologi di negara ini yang sekarang mempunyai 180 pakar dengan hampir separuh adalah wanita.

Daripada hanya lima pakar wanita pada 2002, jumlah itu meningkat kepada 80 orang pada 2022 dan 88 pada tahun ini.

Melihat hal itu sebagai perkembangan positif, Dr Mastura berkata bagaimanapun dominasi lelaki dalam bidang onkologi masih ketara dari segi kepimpinan, tidak seperti disiplin perubatan lain, contohnya pembedahan dan ortopedik.

Mengambil contoh bias gender yang masih wujud dalam bidang itu, beliau berkata lebih ramai pakar onkologi lelaki ditawarkan tempat dalam lembaga penasihat, tajaan persidangan atau sebagai penceramah.

“Jabatan (Onkologi) (di hospital) perlu tawarkan peluang dan sokongan yang sama buat wanita, selain ruang untuk mereka membina keluarga,” tambahnya. 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan