AM

MALAYSIA TUAN RUMAH SWFSC7, BUKTI PERANAN PENTING MAKMAL FORENSIK HIDUPAN LIAR KEBANGSAAN

24/06/2024 03:04 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menjadi tuan rumah yang pertama di Asia untuk 7th Society for Wildlife Forensic Science Conference and Meeting 2024 (SWFSC7) yang berlangsung bermula hari ini sehingga Rabu depan. 

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah membuktikan peranan penting Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (MFHLK) di bawah Perhilitan sebagai makmal forensik yang berprestij dalam menerajui inisiatif melindungi hidupan liar menggunakan teknologi sains.

SWFSC7 disertai lebih 100 ahli sains forensik hidupan liar dari 27 negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara dari benua Afrika serta negara-negara rantau Asia untuk berkongsi idea dan amalan terbaik berkaitan isu-isu jenayah hidupan liar.

“MFHLK berperanan menyediakan bukti forensik yang kritikal untuk siasatan jenayah hidupan liar.

“Saintis MFHLK boleh menentukan spesies, jantina, serta asal (origin) hidupan liar atau bahagian hidupan liar yang dirampas dengan menganalisis bahagian hidupan liar seperti darah, tisu, tulang dan sebagainya untuk membantu kes pendakwaan,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan sejak penubuhannya, MFHLK telah bekerjasama dengan 10 negara di rantau Asia dan Afrika manakala sebanyak 4,002 sampel telah dianalisis oleh MFHLK sejak 2016 di peringkat negara.

“Hasil analisis ini telah banyak membantu pihak pendakwaan jabatan. MFHLK juga telah meraih akreditasi ISO17025 dalam bidang DNA hidupan liar pada tahun 2021 daripada Jabatan Standard Malaysia.

“Pembentukan Special Wildlife Intelligence Forensic Team (SWIFT) pada 2013 telah mengukuhkan crime scene investigation (CSI) melalui penggunaan kaedah dan teknologi untuk memperkemaskan penyiasatan kes melibatkan jenayah hidupan liar,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, NRES memaklumkan MFHLK turut memainkan peranan penting dalam konservasi Harimau Malaya dan pangkalan data genotype Harimau Malaya (MyTAGS) telah dibangunkan oleh MFHLK untuk membantu menjejaki susur galur dan mengenal pasti individu Harimau Malaya untuk membantu usaha pemuliharaan spesies ikonik ini.

“NRES melalui Jabatan PERHILITAN akan terus memperkasakan MFHLK melalui penambahan kepakaran dan tenaga kerja berkemahiran, jalinan kerjasama antarabangsa dan perkongsian pengetahuan melalui penganjuran latihan untuk saintis hidupan liar di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan sama memberi penekanan kepada kepentingan sains forensik bagi meningkatkan kejayaan pendakwaaan kes-kes yang melibatkan bahagian hidupan liar di mahkamah.

“Usaha-usaha dalam bidang ini diperkukuhkan antaranya melalui pemerkasaan teknologi penyelidikan dan kerjasama strategik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan