AM

KUSKOP ANJUR HARI PERUSAHAAN SOSIAL 2024

26/06/2024 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Hari Perusahaan Sosial 2024 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula esok akan memberi pendedahan kepada orang ramai, komuniti perniagaan dan korporat mengenai perusahaan sosial di Malaysia.

Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Mohamad Mahil Ahmad berkata program itu diadakan bagi menarik minat orang ramai mengenai impak yang disumbangkan oleh perusahaan sosial dalam mencapai misi mereka.

“Hari Perusahaan Sosial 2024 juga akan memperkenalkan dan membantu perusahaan sosial memasarkan produk dan perkhidmatan mereka selain meningkatkan bilangan perusahaan sosial yang memohon penarafan dengan KUSKOP,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini. 

Program itu merupakan anjuran KUSKOP sempena Semai Summit di Asia School of Business (ASB) 11 di sini, dijangka dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, esok (Khamis).

Penganjur bersama bagi program itu ialah Chamber of Social Entrepreneur Development (CSED) dan agensi di bawah KUSKOP seperti SME Bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corporation Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional).

Mohamad Mahil berkata pengunjung program juga berpeluang untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perusahaan sosial secara lebih dekat dan tepat dengan menghadiri Forum Keusahawanan dan Sosial melibatkan panel daripada sektor kerajaan, swasta dan perusahaan sosial.

Turut diadakan sesi pembentangan oleh KUSKOP mengenai ‘Landskap Perusahaan Sosial di Malaysia’. 

SME Bank pula akan membentangkan ‘Peranan SME Bank dalam membangunkan Perusahaan Sosial’ dan perkongsian ​​​​​kisah-kisah kejayaan dalam bidang itu.

“Begitu juga aktiviti lain seperti Klinik Penarafan SE Koperasi, Syarikat dan Inovator Sosial; kursus Asas Keusahawanan Sosial; pameran KUSKOP dan agensi; serta pameran dan jualan Buy Social daripada 50 perusahaan sosial,” katanya.

Beliau berkata KUSKOP berharap program itu dapat merancakkan lagi aktiviti perusahan sosial dalam negara bagi bersama-sama menjaga alam sekitar atau membangunkan sosioekonomi rakyat

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan