AM

HARI KARYA LESTARI FDAM 2024, TINGKATKAN KESEDARAN KESIHATAN DALAM KALANGAN AHLI

26/06/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) akan menganjurkan kempen kesedaran kesihatan bagi memberi pendedahan kepada semua ahlinya mengenai penyakit berkaitan jantung, serangan jantung, faktor penyebab dan simptom.

FDAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Kempen ‘Hari Karya Lestari FDAM 2024’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) itu akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa di sini pada Ahad.

“Hari Karya Lestari ialah sebuah acara yang dirancang untuk menimbulkan kesedaran tentang tahap kesihatan jantung kepada penggiat seni dalam negara seperti industri kreatif, media dan hiburan,” menurut kenyataan itu.

Antara objektif penganjuran kempen itu bagi memberi pendedahan kepada ahli FDAM dan pengarah mengenai jenis perlindungan insurans serta polisi bersesuaian dengan kerjaya dalam bidang itu agar mereka dilindungi sekiranya ditimpa penyakit kritikal.

“Kempen itu juga bagi mencari peluang kerjasama dengan IJN dengan kemungkinan FDAM menjadi rakan korporat yang membolehkan ahli FDAM mendapat bantuan kewangan untuk rawatan, diskaun serta peluang lain yang ditawarkan,” menurut kenyataan itu.

Program itu akan menggabungkan elemen riadah iaitu acara berjalan santai dan pendedahan simptom seperti penyakit jantung, respitori, renal, limfatik, diabetes dan hipertensi.

Turut diadakan ialah taklimat dan ceramah tentang pencegahan, demonstrasi teknik bantuan asas hayat atau “Cardiopulmonary Resuscitation” (CPR), maklumat mengenai kemudahan di IJN serta perkongsian atau testimonial pesakit.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan