AM

FESTIVAL MENYELAM LABUAN TONJOL KEKAYAAN EKOSISTEM MARIN, POTENSI PELANCONGAN

30/06/2024 04:58 PM

LABUAN, 30 Jun (Bernama) -- Festival Menyelam Labuan 2.0 yang berakhir hari ini memperlihatkan terumbu karang yang sihat di sekitar perairan Labuan sekali gus menandakan trend positif terhadap kehidupan marin dan pelancongan.

Presiden Kelab Menyelam Labuan Teoh Ming Woei melahirkan rasa puas hati terhadap kejayaan festival berkenaan dalam meneroka biodiversiti marin dan menonjolkan kepentingan pemuliharaan yang berterusan.

"Penganjuran tahun ini berjaya… ia membolehkan kita menyelami kepelbagaian hidupan marin, dengan terumbu karang yang sihat dan membiak baik di sekitar perairan,” katanya selepas menyampaikan sijil kepada 22 penyelam dari Malaysia dan luar negara di Pulau Rusukan Besar di sini hari ini.

Festival Menyelam Labuan 2.0 yang mempamerkan kekayaan warisan hidupan laut Labuan berlangsung tiga hari bermula Jumaat.

Dianjurkan bersama Kelab Menyelam Labuan dan Labuan Rusukan Besar Resort, festival berkenaan menghimpunkan penyelam dari seluruh dunia.

Festival terbabit menampilkan ekspedisi menyelam ke empat bangkai kapal karam terkenal yang menjadi tukun hidupan laut iaitu American Wreck, Australian Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck, selain terumbu karang sekitar Pulau Rusukan Besar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan