EKONOMI

SOGCE 2024 PAMER INOVASI TERKINI MINYAK DAN GAS LABUAN

30/06/2024 06:16 PM

LABUAN, 30 Jun (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah (SOGCE) 2024 yang berlangsung baru-baru ini berjaya mengetengahkan inovasi terkini bagi pembangunan masa depan industri minyak dan gas di Sabah dan Labuan, menurut Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (Bahagian Sabah).

Pengerusinya Daniel Doughty berkata acara penting tersebut turut menjadi platform pemain industri bagi membina rangkaian, memupuk pengembangan perniagaan mereka dan membincangkan mengenai masa depan sektor itu menerusi forum-forum yang diadakan.

“SOGCE memainkan peranan penting dalam menghimpunkan syarikat berkaitan minyak dan gas di bawah satu bumbung, menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan kerjasama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Daniel yang juga pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC), menyatakan SOGCE tahun ini menampilkan penyertaan ketara daripada sektor minyak dan gas Labuan yang berkembang pesat.

Antara syarikat tersebut ialah Labuan Shipyard and Engineering, Damai Shipping, Shipcare International, BSL Oilfield Services, LJ Resources dan Nawie Oilfield Services, yang disokong oleh Labuan Corporation.

“Syarikat-syarikat ini mempamerkan inovasi dan perkhidmatan terkini mereka, mencerminkan sifat dinamik landskap perindustrian Labuan,” katanya.

SOGCE, yang diadakan dari 27-29 Jun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dengan kerjasama LCC, menandakan dedikasinya untuk menyokong industri minyak dan gas rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan