EKONOMI

BANK ISLAM SASAR KEUNTUNGAN 2024 LEBIH TINGGI DISOKONG PERTUMBUHAN BERASAS DANA

30/06/2024 07:06 PM

Oleh Zairina Zainudin dan Karina Imran

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) optimis untuk meraih keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, berdasarkan pertumbuhan lebih baik dalam pendapatan berasaskan dana selain strategi pengoptimuman kos dan kecekapan sumber.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata kumpulan perbankan Islam pertama negara itu telah mencatat keuntungan kukuh pada suku pertama tahun ini, dan momentum ini dijangka berterusan pada suku yang masih berbaki.

Beliau berkata kumpulan itu menyasarkan margin pendapatan bersih (NIM) akan menghampiri kira-kira 2.2 peratus tahun ini, menyumbang dengan ketara kepada pendapatan berasaskan dana selaku bahagian utama bagi jumlah pendapatan Bank Islam.

"Apa-apa sahaja peningkatan yang dapat diraih menerusi NIM kami -- penggerak kepada pendapatan berasaskan dana -- akan meningkatkan keuntungan bersih kami," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini. 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024, keuntungan bersih Bank Islam menokok 9.4 peratus kepada RM129.17 juta berbanding RM118.09 juta pada suku sama tahun lepas berikutan pendapatan bersih lebih tinggi dan elaun bersih yang rendah bagi rosot nilai dalam pembiayaan, diimbangi oleh jumlah overhed yang tinggi.

Bagi tahun kewangan 2023, keuntungan bersih Bank Islam naik 12.5 peratus tahun ke tahun kepada RM553.1 juta berikutan pendapatan bukan berasaskan dana yang meningkat.

Pendapatan berasaskan dana bersih menyusut 0.4 peratus atau RM8.3 juta tahun ke tahun memandangkan NIM yang turun 16 mata asas kepada 2.12 peratus pada tahun kewangan 2023 disebabkan kos dana yang tinggi walaupun meraih pertumbuhan dalam pembiayaan.

 

OPR kekal tidak berubah beri sokongan 

Mohd Muazzam berkata keyakinan Bank Islam terhadap pendapatan suku pertama yang lebih memberangsangkan dan peningkatan perbelanjaan penggunaan, menerima dorongan daripada unjuran yang lebih tinggi bagi kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau mengekalkan sasaran pertumbuhan pembiayaan kumpulan sebanyak 7.0 hingga 8.0 peratus tahun ini, disokong oleh Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal tidak berubah pada suku terkini.

“Momentum pertumbuhan pembiayaan akan meningkat pada akhir suku kedua dan separuh kedua tahun ini, yang membuatkan kami masih menyasarkan pertumbuhan 7.0 hingga 8.0 peratus.

“Kami sentiasa berkembang hampir dua kali ganda daripada kadar industri dan insya-Allah, kami akan terus berupaya mengatasi purata industri tahun ini,” katanya.

Bank Negara Malaysia mengekalkan OPR pada 3.00 peratus dalam mesyuarat keenam berturut-turut pada 9 Mei. Banyak penganalisis menjangkakan bank pusat mengekalkan kadar utama ini tidak berubah sehingga akhir tahun.

Sementara itu, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan suku pertama yang lebih baik berbanding jangkaan sebanyak 4.2 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku keempat 2023, didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pemulihan eksport yang positif.

Mohd Muazzam berpandangan bahawa rasionalisasi subsidi diesel tidak akan memberi kesan serta-merta kepada sektor runcit bank berikutan program Budi MADANI, yang bertujuan mengurangkan sebahagian daripada kos sara hidup yang lebih tinggi, terutama dalam kalangan bukan T20.

 

Sektor runcit memacu pertumbuhan

Ketika ditanya mengenai prospek pertumbuhan bank itu, Mohd Muazzam berkata ia akan disumbangkan oleh sektor runcit, dengan 75 peratus daripada portfolio bank berkenaan adalah aset pembiayaan runcit dan 25 peratus bukan runcit.

“Sektor runcit akan terus berperanan sebagai enjin pertumbuhan kami, diteraju oleh pembiayaan rumah, khususnya bagi hartanah yang dihuni sendiri oleh pemilik bernilai RM750,000 dan ke bawah.

“Kualiti kredit bank ini kekal mantap. Oleh itu, kami akan terus memberi tumpuan kepada pembiayaan kediaman, dengan komponen kedua bagi pembiayaan runcit kami adalah pembiayaan peribadi.

“Ia telah menunjukkan daya tarikan yang baik, dengan pertumbuhan yang memacu penggunaan swasta, dan sektor pembiayaan peribadi kami sebagai penerima manfaat. Kami akan terus berdaya saing di pasaran,” katanya.

Mohd Muazzam berkata sektor paling pesat berkembang dalam portfolio runcit Bank Islam adalah pembiayaan kenderaan, iaitu kira-kira RM2 bilion.

Segmen ini kembali aktif dalam tempoh 18 bulan lepas dengan pelaksanaan metrik kredit baharu, yang memfokuskan kepada pasaran sasaran dan menawarkan model kereta terkini.

Bank itu turut menawarkan pakej pembiayaan terbaik untuk kenderaan elektrik, katanya selain memanfaatkan tumpuan kerajaan terhadap peralihan tenaga seperti panel solar untuk perumahan kediaman.

Bank Islam juga berhasrat untuk meneraju inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Syariah dalam portfolio bukan runcitnya, termasuk tenaga hijau, peralihan tenaga, pengurusan sisa dan pengurusan air.

 

Strategi kos berhemat

Mohd Muazzam berkata untuk menguruskan kos dengan lebih berhemat, Bank Islam secara proaktif melaksanakan pengoptimuman kos dan strategi kecekapan sumber berikutan peningkatan perbelanjaan mengurus (OPEX) yang tidak dapat dielakkan.

Beliau percaya peningkatan dalam OPEX juga akan dialami oleh mana-mana organisasi memandangkan ketidaktentuan pasaran, seperti ketegangan geopolitik dan prestasi dolar Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu, yang telah menyebabkan kelembapan dalam ekonomi global.

Bagaimanapun, program pengoptimuman kos dan kecekapan sumber (CORE) Bank Islam untuk tempoh tiga tahun membolehkan bank berkenaan mengawal tekanan kos OPEX.

“Sebahagian daripada OPEX kami terikat dengan dolar AS -- contohnya, pembekal penyelenggaraan IT kami yang sesetengahnya beribu pejabat di peringkat antarabangsa.

“Walaupun urus niaga kami dilaksanakan dalam ringgit, pada akhirnya kos itu ditanggung mengikut  dolar AS. Jadi, apabila ringgit lemah berbanding dolar AS, kos secara semula jadi akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata Bank Islam menetapkan sasaran untuk mengurangkan OPEX sebanyak RM100 juta dalam tempoh tiga tahun menerusi program CORE, dengan 2024 sebagai tahun pertama pusingan semasa.

 

Guna semula aset untuk kecekapan operasi 

Mohd Muazzam berkata berdasarkan pemerhatian bank itu sejak lapan tahun lepas, penggunaan cawangan bank dalam kalangan pelanggan telah berubah, dengan transaksi asas tradisional kini dilakukan secara digital, terutama melalui perbankan internet (www.bankislam.biz), perbankan mudah alih GO oleh aplikasi Bank Islam dan mesin teler automatik.

“Urus niaga di cawangan kami pada masa ini sebahagian besarnya adalah memberi khidmat rundingan.

"Oleh itu, kami sedang melakukan transisi cawangan kami untuk lebih berasaskan rundingan berbanding hanya mengendalikan transaksi asas memandangkan pelanggan juga sedang melakukan penyesuaian," katanya.

Berikutan perubahan tingkah laku pelanggan, cawangan Bank Islam kini berjumlah 135 berbanding 145 cawangan tiga tahun lepas di seluruh negara.

Beberapa cawangan sedang ditempatkan semula atau ditutup untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik berikutan transaksi asas seperti pengeluaran dana, pemindahan dan deposit yang kebanyakannya dilakukan melalui saluran digital Bank Islam.

“Kami tidak mempunyai rancangan khusus untuk menutup beberapa cawangan. Sebarang penutupan atau penempatan semula cawangan ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk perolehan, volum transaksi, trafik pelanggan dan keupayaan untuk memenuhi keperluan pelanggan tempatan.

"Kami akan terus memantau operasi cawangan kami, mempertimbangkan kesesuaian lokasi, demografi dan perubahan tingkah laku pelanggan," katanya

Beliau berkata Bank Islam juga giat memperkenalkan program peningkatan kemahiran untuk kakitangannya, membolehkan mereka melakukan tugas-tugas rundingan dan penerangan kepada pelanggan.

Langkah ini termasuk mendaftarkan mereka dalam program pensijilan yang diperlukan berikutan produk rundingan tertentu memerlukan lesen, kata Mohd Muazzam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan