POLITIK

PRK SG BAKAP: KEMPEN 'ONE BY ONE' CIKGU JOO

30/06/2024 09:27 PM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Kaedah kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin bersifat serampang dua mata apabila memuat naik video dengan dua individu tular dalam pergaduhan dengan ungkapan 'one by one' dan 'gentleman'.

Joohari yang lebih mesra dipanggil Cikgu Joo berjaya menekankan mesej perpaduan dengan menikmati durian bersama pemilik kedai runcit, Goh Yap Eng dan pelanggannya P. Inthiran dalam video berdurasi satu minit 38 saat selain membuat percubaan dalam memancing undi kaum Cina dan India di Sungai Bakap.

Video tersebut bermula dengan adegan yang sama dalam video yang popular dengan ungkapan one by one' dan 'gentleman' yang tular sebelum ini, apabila Inthiran membuat provokasi dengan menggunakan parang dan topi keledar sebelum membawa kepada pergaduhan di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, di sini.

Calon PH itu yang cuba meleraikan provokasi tersebut terkejut apabila Inthiran membawa durian dalam topi keledarnya dan mengajak Goh untuk ‘one by one’ bagi menikmati durian tersebut.

“Kita mesti duduk sama-sama, hidup sama-sama, bersatu hati dan bersatu padu. Baru boleh kita maju ke depan. Ingat ya, cikgu suka macam itu,” kata Joohari pada akhir perbualan bersama dua individu tersebut sambil memegang tangan mereka dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Pada awal bulan ini, rakaman video pergaduhan tular dengan memaparkan kedua-dua lelaki berkenaan saling membuat provokasi selain mengajak untuk bertumbuk ‘one by one’ sambil diperhatikan oleh pelanggan lain, kemudian pelanggan tersebut bertindak menghentak kepala Goh menggunakan helmet sebelum dirinya ditumbangkan.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari tular sekeping foto lagi yang memaparkan kedua-dua mereka berjabat tangan dan menyelesaikan isu tersebut secara baik selepas ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan