DUNIA

PRESIDEN AFRIKA SELATAN UMUM BARISAN KABINET BAHARU

01/07/2024 10:38 AM

JOHANNESBURG, 1 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengumumkan barisan Kabinet Perpaduan Nasional (GNU) lewat Ahad dengan mengekalkan Paul Mashatile sebagai timbalannya.

Ramaphosa juga melantik Ronald Lamola yang berusia 40 tahun sebagai Menteri Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama baharu, lapor Agensi Anadolu.

Lamola, bekas Menteri Kehakiman dan Hal Ehwal Perlembagaan merupakan antara anggota Kabinet termuda. Beliau menggantikan Naledi Pandor.

Ramaphosa juga mengekalkan Enoch Godongwana sebagai Menteri Kewangan.

“Lelaki dan wanita yang dilantik ke jawatan ini dipilih dari seluruh pelosok negara. Tiada seorang pun anggota Eksekutif Perpaduan Nasional dilantik untuk memenuhi kepentingan sesebuah kawasan, parti atau kelompok masyarakat tertentu,” kata Ramaphosa.

Beliau juga melantik pesaing politik utamanya, pemimpin DA John Steenhuisen sebagai Menteri Pertanian.

Sebanyak 11 parti politik mencapai persetujuan membentuk GNU selepas parti Ramaphosa, African National Congress (ANC) yang memerintah Afrika Selatan selama tiga dekad lalu hilang majoriti dalam pilihan raya pada 29 Mei.

Anggota Parlimen Afrika Selatan melantik semula Ramaphosa, 71, pada 15 Jun sebagai presiden untuk penggal kedua semasa persidangan pertama badan perundangan.

Pada 19 Jun, beliau secara rasmi mengangkat sumpah sebagai presiden ketujuh yang dipilih secara demokrasi.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan