DUNIA

BURSA MALAYSIA KEKAL TINGGI PADA TENGAH HARI, FBM KLCI NAIK 4.86 MATA

01/07/2024 02:42 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan peningkatannya pada tengah hari, didorong oleh minat belian berterusan dalam kebanyakan saham bermodal sederhana dan kecil.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 0.31 peratus atau 4.86 mata kepada 1,594.95 daripada paras 1,590.09 pada akhir dagangan pada Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka tinggi 0.17 mata kepada 1,590.26, bergerak antara 1,587.03 dan 1,596.92 sepanjang sesi dagangan pagi.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 483 berbanding 414 manakala 463 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,014 tidak didagangkan dan lima lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.93 bilion unit bernilai RM1.20 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata keadaan pasaran domestik dijangka bertambah baik berikutan data inflasi yang rendah dari Amerika Syarikat (AS).

“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,590-1,600 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Thong berkata kelemahan yen Jepun berbanding dolar US ke paras terendah dalam tem[oh 38 tahun boleh mendorong kemungkinan berlaku penjajaran semula portfolio keluar daripada pasaran saham Jepun dan ke pasaran Asia yang lain.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.96, Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM13.82, Public Bank naik satu sen kepada RM4.03 dan CIMB meningkat dua sen kepada RM6.82, manakala IHH Healthcare jatuh satu sen kepada RM6.29.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang meningkat 0.5 sen kepada 5.5 sen, Nova melonjak satu sen kepada 22.5 sen, EA Technique dan Hiap Teck melonjak 1.5 sen masing-masing kepada 35.5 sen dan 44 sen manakala MYEG merosot 2.5 sen kepada 99.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 33.63 mata kepada 12,250.03, Indeks FBMT 100 naik 31.83 mata kepada 11,829.89 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 31.77 mata kepada 12,584.74, Indeks FBM 70 melonjak 32.62 mata kepada 17,874.52 dan Indeks FBM ACE mengukuh kepada 59.26 points kepada 5,832.54.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 6.67 mata kepada 962.09, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan melonjak 0.59 mata kepada 196.44, Indeks Perladangan naik 42.19 mata kepada 7,024.91 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh kepada 17.69 mata kepada 17,472.43.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan