EKONOMI

SUBSIDIARI HSS ENGINEERS BHD DAPAT KONTRAK JV RM1.5 BILION URUS METRO BAGHDAD

01/07/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Subsidiari penuh firma perunding kejuruteraan dan pengurusan projek HSS Engineers Bhd (HEB), HSS Engineering Sdn Bhd (HSSE) telah memperoleh kontrak usaha sama terbesarnya yang bernilai US$315.9 juta (RM1.5 bilion).

Kontrak itu bagi menyediakan perundingan pengurusan projek dan perkhidmatan penyeliaan untuk sistem rel Metro Baghdad Iraq, katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Datuk Bandar Baghdad menganugerahkan kontrak itu kepada sebuah syarikat JV yang terdiri daripada HSSE dan Consultant HSS yang berdaftar di UAE, LLC (CHSS), yang merupakan rakan kongsi HEB. Mereka telah bekerjasama dalam pelbagai projek perundingan kejuruteraan di Timur Tengah.

HSSE dan CHSS masing-masing memegang 50 peratus pegangan ekuiti dalam JV.

Dalam satu kenyataan, HEB berkata JV akan menerima bayaran pendahuluan sebanyak 15 peratus untuk pengurusan projek, berjumlah US$15.8 juta (RM74.5 juta).

"Anggaran yuran perkhidmatan terbahagi kepada dua komponen iaitu skop pengurusan projek serta skop penyeliaan pembinaan, masing-masing pada 0.6 peratus dan 1.2 peratus daripada jumlah anggaran kos pembinaan," katanya.

Kos pembinaan projek dikatakan mencecah US$17.5 bilion.

Kontrak lima tahun tersebut akan bermula pada Julai 2024 dan dijadualkan siap menjelang Mei 2029.

Kontrak itu memerlukan pembinaan rangkaian tujuh laluan metro tanpa pemandu, sepanjang 148 kilometer secara komprehensif merentasi 64 stesen yang akan melalui bahagian bawah tanah, permukaan dan bertingkat untuk sambungan yang lancar di seluruh bandar. 

Naib Pengerusi Eksekutif Tan Sri Kuna Sittampalam berkata HEB akan memainkan peranan penting dalam usaha perintis itu, yang dijangka akan membawa Baghdad ke era baharu perhubungan yang lancar dalam ibu negara Iraq untuk memangkin pertumbuhan bandar dan kemakmuran ekonominya.

"Diterajui sebagai asas strategi pembangunan negara Iraq, kami komited untuk memantapkan kedudukan jenama kami yang mempunyai standard tertinggi dalam usaha Metro Baghdad.

"Kemenangan ini, yang diperolehi dalam persaingan sengit antara beberapa negara, adalah bukti kebolehan kami. Ia mempunyai kepentingan yang besar kepada portfolio global kumpulan kami," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan