DUNIA

CHINA BOLEH DITELADANI DALAM KERJASAMA PENDANAAN DAN HARTA INTELEK - PRESIDEN BANK DUNIA

01/07/2024 04:06 PM

BEIJING 1 Julai (Bernama-CMG) -- Presiden Bank Dunia Ajay Banga menyatakan bahawa China boleh dijadikan contoh oleh negara lain dalam bekerjasama dengan institusi perkhidmatan kewangan antarabangsa itu untuk aspek tertentu.

Beliau berkata China sebagai bekas negara penerima pinjaman kewangan daripada Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA) di bawah Bank Dunia sudah berubah menjadi antara negara penyumbang wang yang paling besar bagi Bank Dunia pada masa sekarang.

"Ini menggambarkan dengan sempurna proses yang dialami satu negara dari status sebagai penerima bantuan dana daripada Bank Dunia ke status sebagai pembekal bantuan kepada negara lain.

"Kerjasama antara kerajaan China dengan Bank Dunia bukan sahaja terhad dalam bidang pendanaan, tetapi juga melibatkan bidang harta intelek.

“China memacu pelaksanaan projek pembangunannya melalui penggunaan dana, keanggotaan dan harta intelek profesional daripada Bank Dunia yang sekarang ini giat membantu negara lain menimba pengalaman dari China,” katanya ketika diwawancara wartawan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini. 

Ajay Banga memberi contoh negara-negara lain boleh menimba pengalaman dari China yang mengamalkan konsep pembangunan hijau yang mampan dan hebat dalam bidang pembinaan landasan kereta api dan infrastruktur.

Presiden Bank Dunia itu menekankan bahawa belajar antara satu sama lain adalah sama penting dengan memberi sokongan dana. Beliau menyatakan Bank Dunia bukan hanya bank simpanan dana tetapi juga bank simpanan harta intelek dan kedua-dua fungsi ini dimanfaatkan dengan baik oleh China.

Menurut beliau, China sedang berusaha mengubah model pertumbuhan ekonominya untuk masa depan, yang memerlukan sokongan teknologi inovatif, industri hijau dan peningkatan kepenggunaan.

“Saya menganggap tempoh transformasi itu memerlukan masa yang tertentu, tetapi yang perlu diingati bahawa walaupun ekonomi China berkembang pada kadar hanya lima peratus, tetapi sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi dunia tetap mencatat 30 peratus.

“Saya berpendapat bahawa melihat dari segi pandangan yang jauh, pembangunan ekonomi China yang sihat amat penting bagi negara-negara lain di dunia,” kata beliau.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan