DUNIA

KEMENTERIAN LUAR PANTAU SITUASI SEMASA DI TIMUR TENGAH

03/07/2024 09:04 AM

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Luar (Wisma Putra) sedang memantau rapi perkembangan semasa di Timur Tengah dan komited untuk memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia.

Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Selasa, berkata Malaysia secara berterusan telah menyeru kepada gencatan senjata di Gaza, menggesa semua pihak terlibat untuk meredakan ketegangan supaya situasi berkenaan tidak merebak.

Menurut Wisma Putra, Kerajaan Malaysia melalui pejabat-pejabat kedutaannya, terus berhubung rapat dengan warganegara Malaysia yang telah berdaftar, dan bantuan konsular akan disalurkan dengan segera sekiranya diperlukan.

Kementerian itu turut menyarankan rakyat Malaysia yang melawat atau menetap di rantau Timur Tengah dan belum mendaftar dengan kedutaan Malaysia terdekat supaya berbuat demikian dengan segera.

"Ini akan memudahkan pihak kedutaan untuk memanjangkan bantuan konsular dengan segera sekiranya perlu. Senarai Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara boleh diperoleh melalui laman sesawang Kementerian Luar Negeri di www.kln.gov.my," kata Wisma Putra.

Rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke rantau itu dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan