POLITIK

PESARA POLIS TERKEJUT TERIMA KUNJUNGAN AHMAD ZAHID

02/07/2024 10:55 PM

NIBONG TEBAL, 2 Julai (Bernama) -- Seorang pesara polis yang terpaksa berkerusi roda kerana penyakit kencing manis terkejut ketika menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediamannya di Kampung Baru Sungai Buaya di Sungai Bakap di sini malam ini.

Mohammad Fauzi Ibrahim, 66, ketika ditemui selepas menerima kunjungan itu berkata dia tidak dapat menyembunyikan riak wajah terkejutnya sebaik melihat sosok pemimpin nombor dua negara berkenaan selepas solat Maghrib.

“Mulanya saya hairan kenapa ramai orang datang ke rumah tapi bila terlihat dia, terus saya rasa macam mimpi. Apa-apapun saya berbesar hati dan terharu dengan kedatangan Ahmad Zahid yang bertanya khabar saya serta keluarga,” katanya kepada Bernama.

Zainab Ismail, 59, pula berkata penyakit kencing manis suaminya semakin serius selepas ibu jari kaki Mohammad Fauzi berlubang dan bernanah kerana terpijak sesuatu semasa sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Besar sebelum dimaklumkan mengenai penyakit Mohammad Fauzi selaku pengerusi masjid itu.

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri itu disambut oleh kira-kira 300 penduduk kampung termasuk Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan jentera parti.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan