AM

SARAWAK CADANG BANGUNKAN PUSAT SUKAN BERPRESTASI TINGGI, LAHIRKAN OLIMPIAN MASA DEPAN

03/07/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri bercadang membangunkan sebuah Pusat Sukan Berprestasi Tinggi bertujuan melatih sekurang-kurangnya 10 bakal Olimpian bagi mewakili negara menjelang 2030 sekali gus mencapai hasrat Sarawak untuk muncul sebagai kuasa besar sukan Malaysia.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hii Chang Kee berkata pusat yang dirancang itu akan menyediakan kemudahan khusus dan terkini bagi membantu atlet meningkatkan keupayaan mereka.

Beliau berkongsi cadangan itu semasa program bual bicara pagi di Ai FM iaitu stesen radio dalam talian tempatan bersempena dengan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak. Temu bual berkenaan dijalankan secara hibrid.

“Walaupun masyarakat di seluruh negara mempunyai ruang rekreasi untuk aktiviti sukan, kebanyakannya berfungsi untuk tujuah riadah.

“Oleh itu, untuk mengoptimumkan potensi sukan negara, terdapat keperluan mendesak untuk akses diperluaskan kepada kemudahan sukan khususnya kepada golongan belia,” katanya.

Setakat ini, Sarawak telah melahirkan lapan Olimpian termasuk penerjun wanita Datuk Pandelela Rinong dan penerjun lelaki Bertrand Rhodict Lises, yang muncul atlet pertama layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata kebanyakan Olimpian muncul menerusi SUKMA di samping atlet Paralimpik yang juga dikenal pasti melalui Sukan Para SUKMA.

Kejayaan ini, katanya menggariskan penekanan kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan, dengan inisiatif yang diketuai oleh Majlis Sukan Negeri dan Perbadanan Sukan Sarawak bertujuan mengangkat martabat Sarawak sebagai kuasa yang menggerunkan dalam sukan.

Sementara itu, mengenai penganjuran SUKMA selepas 2016, Hii menyifatkan edisi kali ini bakal menyaksikan perhimpunan terbesar atlet berserta dengan kehadiran jurulatih, pegawai pasukan, pengadil, anggota penguat kuasa dan sukarelawan yang mencecah puluhan ribu.

Edisi ke-21 SUKMA dijadual berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos, menyaksikan 37 sukan dipertandingkan di pelbagai venue membabitkan sembilan daerah dengan keseluruhan 488 pingat emas ditawarkan.

Mengenai sasaran pingat emas kontinjen Sarawak kali ini, beliau optimis dengan prestasi atlet negeri serta mengiktiraf usaha kompetitif negeri-negeri lain yang turut mengutamakan agenda pembangunan sukan.

“Kami telah menjalankan perancangan rapi dan akan mendedahkan sasaran khusus pingat emas kami semasa majlis akan datang oleh (Datuk Seri) Abdul Karim (Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan),” katanya.

Sempena majlis pembukaan temasya SUKMA ke-21 nanti, Hii berkata orang ramai berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk hadiah utama sebuah kereta menerusi cabutan bertuah bagi mereka yang mendaftar secara dalam talian.

Beliau berkata pada edisi kali ini, jumlah siaran langsung turut dipertingkatkan berbanding edisi sebelumnya dan pada masa sama melancarkan Aplikasi SUKMA, yang menyediakan maklumat secara komprehensif kepada orang ramai.

Temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu merupakan platform pencarian bakat baharu, sebelum mereka melangkah ke peringkat lebih jauh dalam acara sukan yang disertai mereka.

Beliau berkata kepelbagaian bakat sukan juga dapat dikesan mengikut wilayah sebagai contoh kejayaan Sibu dalam sukan tinju, kehebatan Kapit dalam sukan tempur dan kemunculan bakat bola sepak wanita dari kawasan pedalaman serta pelari pecut.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan