SUKAN

AUG 2024: MALAYSIA DOMINASI LONTAR PELURU WANITA

03/07/2024 03:04 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

MALANG, 3 Julai (Bernama) -- Olahraga menyumbang dua lagi pingat hari ini, masing-masing emas dan perak pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 menerusi acara lontar peluru wanita berlangsung di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA).

Pingat emas hadir menerusi Nani Sahirah Maryata yang melakukan lontaran sejauh 15.20 meter (m) manakala pingat perak disumbangkan seorang lagi atlet negara Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar dengan catatan 12.48m.

Pingat gangsa dimenangi atlet Filipina, Jamela De Asia yang melakukan 11.69m.

Ini merupakan pingat emas ketiga disumbangkan kem olahraga sejak acara itu membuka gelanggang semalam.

Semalam, atlet lempar cakera wanita Queenie Ting Kung Ni mempertahankan pingat emas dimenanginya di Ubon Ratchathani pada edisi lepas, selepas melakukan lontaran sejauh 45.23m.

Emas kedua kem olahraga negara diperoleh menerusi Andre Anura Anuar yang mengungguli acara lompat jauh lelaki selepas melakukan lompatan sejauh 7.46m.

Sementara itu, Nani Sahirah ketika ditemui berkata meskipun berjaya memperoleh pingat emas beliau mengakui masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan terutamanya menjelang Sukan SEA tahun depan. 

"Bukan sekarang untuk saya rasa selesa tapi perlu terus buat penambahbaikan. Tempoh untuk ke Sukan SEA tidak panjang.

"Saya nak pecah rekod kali ini tapi dengan rezeki hari ini, saya sangat bersyukur. Masih ada lagi aspek yang perlu saya perbaiki,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan