JENAYAH & MAHKAMAH

KDN RAMPAS PENERBITAN, ALAT PERMAINAN SEKS BERNILAI RM1.2 JUTA

03/07/2024 03:34 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Sejumlah 19,924 hasil penerbitan dan alat permainan seks dirampas melibatkan nilai keseluruhan RM1.2 juta dalam Ops Cetak 1.0 yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di seluruh negara pada 1 hingga 14 Jun lepas.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata sepanjang operasi yang dijalankan di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kedah itu, sebanyak  1,759 premis diperiksa dengan 119 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata sebanyak 50 individu membabitkan 47 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing telah ditahan, terdiri daripada mereka yang berusia 20 hingga 90 tahun.

“Kita buat risikan dalam talian, di premis perniagaan yang dijadikan tempat simpanan dan penjualan hasil rampasan itu.

“Adalah menjadi kesalahan mengguna mesin cetak tanpa lesen sah atau memiliki hasil penerbitan yang dianggap jelik seperti buku, majalah, pakaian atau aksesori berkaitan perkara lucah iaitu ia bertentangan dengan nilai dan sosiobudaya masyarakat di negara ini,” katanya dalam sidang media berkaitan Ops Cetak 1.0 di sini hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan barang rampasan itu, sebanyak 15,602 unit alat mainan seks bernilai RM540,000 dipercayai dibawa masuk dari China dan Jepun.

Beliau berkata KDN turut menyita mesin cetak di tiga premis cetakan haram di sekitar Seri Kembangan dan Klang, Selangor dianggarkan bernilai RM600,000.

“Tindakan ini diambil berdasarkan kepada peruntukan di bawah Seksyen 3(4) dan 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984),” katanya.

Nik Yusaimi berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kesalahan memudaratkan kemoralan, ketenteraman awam, keselamatan negara atau menggemparkan fikiran orang ramai.

Katanya, individu terbabit aktiviti itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan