AM

KPKM SALUR LEBIH RM100 JUTA GERAN AGROPRENEUR MUDA SEJAK 2016

03/07/2024 03:41 PM

 

SEREMBAN, 3 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM174.16 juta bagi memperkasakan golongan belia dalam sektor agromakanan melalui bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) sejak 2016 sehingga kini.

Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali berkata seramai 9,529 penerima di seluruh negara menerima manfaat daripada peruntukan itu merangkumi bantuan barangan seperti input dan peralatan pertanian serta infrastruktur ladang dengan nilai RM20,000 per individu.

“Peruntukan ini meliputi pengeluaran tanaman, perikanan dan ternakan. Bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sehingga suku pertama tahun ini, 41 peratus iaitu 764 usahawan muda berjaya mencatatkan peningkatan pendapatan RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Manakala, 71 usahawan berhasil mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran nasional, iaitu pemasaran produk sekurang-kurangnya tiga negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program Pemadanan Belia Tani bersama Industri Subsektor Agromakanan Jabatan Pertanian 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi.

Bagi program hari ini, Lokman turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM1.42 juta GAM kepada 71 agropreneur muda di bawah bimbingan Jabatan Pertanian bagi fasa satu dan dua tahun ini.

“Melalui geran ini, usahawan boleh memilih untuk digunakan dalam industri asas tani, contohnya memproses makanan atau aktiviti huluan iaitu menguruskan tanaman atau ternakan, kalau dapat membuat dalam pelbagai rangkaian, jadi pendapatan lebih meningkat,” katanya.

Lokman berkata GAM merupakan pemangkin kepada ramai usahawan muda dan turut bercadang meningkatkan had siling GAM Start-Up sehingga RM30,000 serta mewujudkan GAM Scale-Up dengan nilai maksimum RM50,000.

Menurut beliau, GAM Scale-Up ini terbuka kepada penerima geran start-up yang berjaya mengembangkan perusahaan selari dengan tempoh masa projek dan mempunyai potensi untuk ke tahap yang seterusnya.

“Saya lihat minat golongan muda dalam bidang pertanian semakin meluas...dengan dunia teknologi masa kini, mereka perlu rajin menerokai pelbagai ilmu pertanian dan meningkatkan pengetahuan. Saya percaya, kalau kita ‘turun padang’, ramai usahawan petani muda ini sudah bergelar jutawan,” katanya.   

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan