AM

USIM ANUGERAH SHEIKH AL-AZHAR IJAZAH KEHORMAT DOKTOR FALSAFAH PENGAJIAN QURAN DAN SUNNAH

04/07/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR 4 Julai (Bernama) -- Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.

Penganugerahan kepada Sheikh Al-Azhar yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir itu disempurnakan Pro Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Khas yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

USIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penganugerahan bersempena Simposium Antarabangsa Malaysia MADANI 2024: Islam dan Kesederhanaan itu bertepatan dengan peranan cukup besar dimainkan Sheikh Al-Azhar dalam melakukan anjakan paradigma terkait bidang kepakarannya iaitu ilmu Usuluddin.

Menurut kenyataan itu, Sheikh Al-Azhar telah terlibat lebih 23 tahun dalam bidang pengajian al-Quran selain berkhidmat dalam institusi pendidikan pengajian Islam meliputi pelbagai jawatan dan kedudukan, termasuk menjadi Presiden Universiti Al-Azhar selama tujuh tahun, sebelum dilantik sebagai Imam Besar Al-Azhar dan Al-Azhar Al-Syarif bermula 19 Mac 2010 sehingga kini.

“Beliau merupakan ilmuwan dan ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah serta telah memberikan sumbangan luar biasa dalam bidang pengajian Islam sehingga diangkat menjawat jawatan tertinggi dalam institusi sunni terbesar dan muktabar,” menurut kenyataan itu.

USIM memaklumkan Sheikh Al-Azhar terlibat mengkaji ribuan kitab sehingga memperolehi status Sheikh Al-Azhar sekali gus menjadi titik perubahan dalam Institusi Al-Azhar yang kini menjadi tonggak keilmuan legasi Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam masyarakat global.

Beliau kini dalam lawatan khas ke Malaysia selama empat hari sehingga esok atas undangan perdana menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan