AM

SYARIKAT TELCO JANJI TIADA KOS TAMBAHAN KEPADA PELANGGAN BAGI RANGKAIAN 5G KEDUA - FAHMI

04/07/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi mengesahkan bahawa pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang mengambil bahagian dalam rangkaian 5G kedua Malaysia tidak akan memindahkan sebarang kos kepada pengguna.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata MNO telah memberi jaminan bahawa tiada kos tambahan dikenakan terhadap pengguna selepas pelancaran rangkaian kedua.

“Kami mempunyai komitmen daripada semua Ketua Pegawai Eksekutif (Telco) melalui perbincangan, dan tidak ada isu mengenai kos tambahan untuk pengguna. 

“Perkara ini dijanjikan kepada saya, dan kita berpegang kepada janji itu,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

MCMC diberi tanggungjawab memilih penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih bagi membangunkan rangkaian 5G kedua Malaysia, bermula dengan proses AIP (Pakej Maklumat Aplikasi) pada 1 Julai.

Pada 1 Dis lepas, YTL Power International Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, dan U Mobile Sdn Bhd memuktamadkan perjanjian langganan saham dengan DNB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) yang membuka laluan untuk peralihan kepada model Rangkaian Pemborong Dwi 5G (DWN).

Fahmi berkata kerajaan komited sepenuhnya untuk memastikan model dwi-rangkaian itu menggalakkan persaingan sihat dalam sektor telekomunikasi sambil memastikan kemampanannya dan meningkatkan kesalinghubungan untuk rakyat.

"Pada masa yang sama, ia (pelaksanaan model dwi-rangkaian) tidak akan menyebabkan implikasi besar kepada kewangan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan