AM

DASAR PERKAPALAN NEGARA AKAN DIPERKENAL, GALAK PENGGUNAAN KAPAL TEMPATAN - LOKE

04/07/2024 07:45 PM

PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) -- Dasar industri perkapalan negara akan diperkenal bagi memandu industri perkapalan tempatan dalam eksport dan import, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata cadangan pengenalan dasar itu, dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NPSC) yang dipengerusikannya, hari ini.

Pada sidang media selepas mesyuarat itu, Loke berkata pengenalan dasar berkenaan juga bertujuan menggalakkan penggunaan kapal tempatan berserta kru untuk perkhidmatan barangan dan kargo, terutama dalam bidang gas dan minyak atau bidang komoditi utama negara.

“Ini cadangan (dasar) yang kita akan angkat selepas perincian dengan pelbagai pihak berkepentingan dan kita harap dasar ini akan dapat kita bentang pada Kabinet, hujung tahun ini.

“(Ia) supaya dapat diangkat sebagai dasar memandu pertumbuhan industri perkapalan negara, kerana kita lihat pentingnya industri perkapalan kepada ekonomi dan keselamatan sesebuah negara,” katanya.

Loke berkata dasar berkenaan dijangka dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan khususnya dalam bidang perkapalan.

“Kita mahu mendedahkan industri ini kepada anak muda Malaysia. Industri perkapalan ini tidak begitu diberikan perhatian oleh lepasan sekolah, khususnya mereka lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun lepasan universiti. 

“Mereka biasanya bukan memilih seafarers sebagai satu opsyen pekerjaan, tetapi saya ingin nyatakan bahawa sebenarnya seafarers ini ada banyak peluang yang menarik dan mereka juga boleh menjadi pelaut yang mendapat pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata pelaut adalah satu profesion berpotensi, kerana dalam dunia perkapalan sekarang ini memang kekurangan tenaga kerja.

“Malaysia sepatutnya mengambil peluang ini untuk terlibat dalam industri perkapalan dan sudah tentunya banyak peluang pekerjaan menanti,” katanya.

Beliau berkata perkara lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu ialah fokus bagaimana cara menambah kapasiti dan juga kompetensi dalam pelabuhan negara, termasuk menerusi pendigitalan. 

“Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan dalam pelabuhan kita termasuklah kita nak (menerusi) pendigitalan pelabuhan. Ia supaya menjadi pelabuhan yang lebih berdaya saing dan maju ke hadapan,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan