AM

PROGRAM MADANI RAKYAT - IPD KUANTAN DIGERAKKAN JAGA KESELAMATAN

04/07/2024 08:05 PM

KUANTAN, 4 Julai (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan akan mengerahkan keseluruhan pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran dan keselamatan awam sempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang akan berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan di sini selama tiga bermula esok.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata seramai 376 pegawai dan anggota termasuk anggota bantuan dari luar daerah Kuantan telah ditugaskan bagi tujuan itu. 

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) daerah Kuantan telah dipertanggungjawabkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Lalu Lintas untuk tujuan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara sepanjang program tersebut. 

“Untuk tujuan ini juga, kami turut sama menggerakkan Bahagian Siasatan Jenayah daerah Kuantan bagi memastikan tidak berlaku sebarang jenayah sepanjang program ini berlangsung,” katanya dalam temu bual menerusi Pahang FM hari ini. 

Ketika ditanya mengenai kelancaran trafik memandangkan lokasi progam berkenaan berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan dan Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4 yang merupakan laluan utama ke bandar, beliau berkata polis akan menutup dan melencongkan beberapa laluan di sekitar tapak program itu.

Beliau berkata antara jalan yang terlibat dalam penutupan dan lencongan ialah Jalan Mat Kilau, Jalan Tanah Putih dan Jalan Kemunting yang akan bermula esok hingga Ahad ini. 

“Penutupan untuk Jalan Kamunting adalah secara terpilih iaitu bagi kenderaan penduduk sekitar, kita akan benarkan (mereka masuk). Selain itu, bagi acara Kuantan City Half Marathon yang akan bermula Ahad pagi, penutupan jalan akan dilakukan secara berkala di laluan utama bermula pukul empat pagi. 

“Antara jalan terlibat Jalan Tanah Putih, Jambatan Putra, Jambatan Tanjung Lumpur dan Jalan Besar. Penutupan jalan ini, kita akan lakukan secara berkala dan kita juga akan memastikan mana lokasi yang dijangka akan berlaku kesesakan lalu lintas, kita akan meletakkan anggota trafik dari Kuantan,” katanya. 

Wan Mohd Zahari berkata maklumat lanjut berhubung penutupan dan lencongan jalan sempena Program MADANI Rakyat Zon Timur boleh dirujuk di Facebook Polis Kuantan dan pada masa sama turut menasihati pengunjung untuk menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik. 

Beliau berkata beberapa lokasi tempat letak kereta awam disediakan bagi memudahkan pengunjung antaranya Stadium Darul Makmur, Medan Warisan, Serambi Teruntum, Taman Kerang dan Taman Esplanade Kuantan. 

“Di lokasi kemudahan tempat letak kereta awam yang disediakan ini akan ada perkhidmatan bas ulang-alik. Kami nasihatkan pengunjung untuk menggunakan bas ini kerana akan memudahkan mereka ke sana nanti,” katanya. 

Menurut laman Facebook Malaysia MADANI, perkhidmatan bas ulang-alik itu akan beroperasi 6 pagi hingga 11 malam bermula esok di hab bandar Kuantan - Stadium Darul Makmur dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan City Mall, East Coast Mall dan Masjid Negeri, selain Hospital Besar Kuantan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Kuantan, Kuantan Parade dan Jalan Bukit Ubi. 

Program MADANI Rakyat Zon Timur 2024 dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu ini.

Selain usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat, program berkenaan dilihat dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI.

Maklumat lanjut berkaitan program boleh didapati menerusi portal https://malaysiamadani.gov.my. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan