POLITIK

PRK SG BAKAP: JENTERA KERAJAAN PERPADUAN TELAH BUAT SEHABIS BAIK - AHMAD MASLAN

05/07/2024 04:27 PM

NIBONG TEBAL, 5 Julai (Bernama) -- Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berpuas hati dengan gerak kerja dilakukan jentera dan calon mewakili Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari terakhir hari ini.

Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room PRK DUN Sungai Bakap melahirkan keyakinan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin mampu meraih kejayaan berdasarkan penerimaan masyarakat.

“Kita telah melakukan sehabis baik dalam tempoh kempen untuk memenangkan calon Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau menyeru pengundi untuk keluar awal pada hari pengundian esok.

"Kepada pengundi luar pula saya ingin menyeru baliklah ke kampung...manfaatkan sebaiknya cuti panjang hujung minggu ini kerana selain dapat mengundi, inilah peluang untuk berkumpul dan bertemu keluarga," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan