EKONOMI

MATRADE BAWA SYARIKAT SEMIKONDUKTOR MALAYSIA SERTAI SEMICON WEST 2024 DI AS

05/07/2024 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai penyertaan syarikat berkaitan semikonduktor Malaysia di acara SEMICON West 2024 di Amerika Syarikat (AS).

Acara yang berlangsung pada 9-11 Julai, 2024, akan diadakan di Moscone Center, San Francisco di California.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata penyertaan berterusan dalam SEMICON West juga menjadi langkah strategik meletakkan Malaysia sebagai penggiat utama global dalam rantaian nilai semikonduktor.

“Ini turut membolehkan syarikat tempatan itu menyertai usaha libat urus dengan rakan-rakan global, terutama di pasaran Amerika Utara selain sentiasa terdedah kepada aliran industri baharu serta kemajuan teknologi terkini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata MATRADE melaksanakan inisiatif strategik bagi memperkukuh penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan elektrikal dan elektronik (E&E) global serta menyokong pengembangan syarikat berkenaan di peringkat antarabangsa.

“Kehadiran di SEMICON West menjadi platform merebut peluang sejajar dengan unjuran pertumbuhan jualan semikonduktor dunia sebanyak 13.1 peratus menjelang akhir 2024,” katanya.

Sempena acara tiga hari itu, pihak MATRADE Los Angeles sedang menyelaras pelbagai aktiviti berimpak tinggi di Pavilion Malaysia, termasuk usaha padanan perniagaan dan sesi rangkaian perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dengan pemain industri.

Sebanyak 10 pempamer dari Malaysia menyertai acara berkenaan seperti CG Global Profastex Manufacturing, Cortex Robotics, ECA Advanced Solutions, Engrich Solutions, Interface Solution, JKS Engineering (M), Mplex Technology, SCP Automation, TSG Automation dan Weng Seng Engineering Corporation yang dijangka mengetengahkan keupayaan masing-masing dalam pembuatan elektronik.

Ini termasuk segmen produk dan teknologi maju dalam peralatan pengujian automatik, peralatan pemeriksaan optik automatik, perkhidmatan pembuatan elektronik, papan litar bercetak dan pemasangan kekotak binaan, sistem perindustrian dan peralatan selain fabrikasi kejituan komponen.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, eksport E&E Malaysia mengekalkan pertumbuhan untuk bulan kedua berturut-turut dengan nilai mencecah RM228.38 bilion manakala eksport semikonduktor bernilai RM146.95 bilion, kata agensi itu.

“Pada Mei 2024, eksport semikonduktor Malaysia meningkat 11 peratus bulan ke bulan kepada RM31.86 bilion berbanding RM28.71 bilion pada April 2024,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan