SUKAN

SABAH FC UMUM RAMON MACHADO TAMATKAN KONTRAK - PENGARAH

05/07/2024 07:50 PM

KOTA KINABALU, 5 Julai (Bernama) -- Sabah FC hari ini mengumumkan pemain penyerang import Ramon Machado akan menamatkan kontrak bersama pasukan bola sepak itu.

Pengarah berkenaan Md Joh Wid berkata kelab dan seluruh warga Sabah FC mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemain dari Brazil itu atas sumbangan beliau terhadap pasukan berkenaan.

“Dengan berat hati secara rasminya saya memaklumkan bahawa pemain penyerang Ramon Machado akan menamatkan kontrak bersama Sabah FC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sejak penampilan pertama, Md Joh berkata Ramon berjaya menambat hati penyokong The Rhinos menerusi jaringan-jaringan cantik serta ‘assist’ (bantuan) beliau, dan sudah pasti gerakan pantas serta kelincahannya di padang, terutama di gelanggang keramat Stadium Likas akan dirindui.

“Walau bagaimanapun, kita perlu meneruskan perjuangan yang masih banyak tersisa di hadapan. Bola sepak adalah sukan berpasukan. Saya menaruh penuh keyakinan pada semua pemain yang ada untuk terus menggalas tugas membawa cabaran seterusnya.

“Terus beri sokongan padu dan semoga kita berjaya mencapai sasaran yang telah kita tetapkan,” katanya sambil menambah semoga Ramon dan keluarga selamat kembali ke kampung halaman bersama kenangan indah sepanjang berada di Sabah seterusnya maju jaya di masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan