AM

MOHD RABIN DILANTIK FASILITATOR KERAJAAN MALAYSIA

05/07/2024 09:12 PM

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa pada 1 Julai lepas.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dalam kenyataan hari ini berkata Mohd Rabin menggantikan Jen (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang menamatkan perkhidmatannya pada 30 Jun lalu.

“Kerajaan amat yakin atas kewibawaan Mohd Rabin untuk merealisasikan misi ini dengan baik, berkesan dan mampu mencapai dampak positif serta signifikan kepada Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang sedang berlangsung.

“(Ini) berbekalkan pengalaman luas sebagai bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara sebelum ini,” katanya.

Raja Nushirwan berharap Mohd Rabin dapat memainkan peranan lebih efektif serta konstruktif dalam mempercepatkan usaha ke arah mewujudkan persekitaran aman dan damai di Wilayah Sempadan Selatan Thailand.

Beliau bagi pihak kerajaan turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Zulkifli.

Zulkifli katanya akan meneruskan tanggungjawab serta komitmen sebagai Penasihat/Fasilitator Proses Damai Mindanao.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan