JENAYAH & MAHKAMAH

SYOR TAMBAH BAIK PENTADBIRAN MAHKAMAH SYARIAH DIBINCANG DALAM MESYUARAT PERTAMA JKSK

06/07/2024 12:10 AM

SEPANG, 5 Julai (Bernama) -- Syor menambah baik fungsi pengurusan dan pentadbiran mahkamah syariah di seluruh negara antara perkara dibincang dalam Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan (JKSK) yang berlangsung di sini selama dua hari dan berakhir esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata mesyuarat juga akan mengesyorkan untuk menambah hierarki mahkamah syariah sedia ada kepada empat peringkat berbanding tiga ketika ini iaitu mahkamah rendah, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.

"Besar harapan saya agar mesyuarat JKSK menjadi ruang kepada penambahbaikan mahkamah syariah secara keseluruhannya.

"Kerajaan MADANI yang menerajui pemerintahan negara sangat komited dalam usaha memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan syariah," katanya kepada media selepas Sesi Khas Pertemuan dan Amanat bersama ahli JKSK di sini malam ini.

Beliau berkata syor atau perkara yang dibincang dalam mesyuarat itu akan diangkat menjadi resolusi untuk dibentangkan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

"Resolusi akan dibawa ke MKI yang seterusnya akan diperkenan oleh Majlis Raja-Raja... jadi semua isu berkaitan kehakiman mahkamah syariah boleh diselaraskan," katanya.

JKSK adalah jawatankuasa di bawah MKI yang diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dan pada Februari lepas, nama-nama ahli jawatankuasa telah diangkat untuk perkenan Pengerusi MKI ketika itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda telah memperkenan pelantikan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada enam pakar undang-undang dan ahli akademik serta 14 wakil dari setiap negeri yang terdiri daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri. 

Mesyuarat Kali Pertama JKSK diadakan bagi mempertemukan ahli-ahli serta membincangkan gerak kerja, hala tuju dan menetapkan terma rujukan. 

Penubuhan JKSK adalah langkah signifikan dalam usaha memperkukuh serta memperkembang perundangan syariah di Malaysia dan secara khusus berperanan meningkatkan serta memartabatkan sistem kehakiman syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan usaha berterusan kerajaan untuk mempertingkat bidang kuasa, status serta kewibawaan mahkamah syariah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan