SUKAN

SELEPAS SARAWAK, PULAU PINANG MINAT ANJUR BERSAMA SUKAN SEA 2027 - HANNAH

07/07/2024 08:13 PM

PETALING JAYA, 7 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu selepas Sarawak untuk menjadi hos bersama penganjuran temasya Sukan SEA 2027, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Selepas Sarawak bersedia untuk berkongsi kos penganjuran bersama kerajaan Persekutuan dengan syarat acara perasmian temasya sukan dan sebahagian acara lain diadakan di Bumi Kenyalang dan Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk menganjurkan jenis-jenis sukan tertentu di Pulau Mutiara.

Hannah berkata Majlis Sukan Negara (MSN) kini sedang menyediakan kertas kajian impak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Kabinet sebelum temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula 26 Julai ini.

“Kita telah buat satu rundingan dan Sarawak menyatakan bahawa mereka nak jadi hos bersama sehingga 50 peratus tajaan (namun) kita juga ada negeri lain memaklumkan bahawa mereka nak juga terlibat. 

“Pulau Pinang telah menyatakan hasrat mereka juga untuk sukan-sukan tertentu. Jadi semua ini kita akan bawa kepada Kabinet dan kita akan buat satu keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis anjuran Persatuan Dodgeball Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata maklum balas itu diterima setelah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengutus surat kepada semua negeri dengan menawarkan sekiranya mereka berminat untuk bekerjasama dalam penganjuran sukan berkenaan.

"Buat masa ini ia adalah pelawaan dan sekiranya mereka bersetuju kemudian kita melihat kesesuaian, logistik, venue, kos, tajaan, jumlah sukan  dan sebagainya….ini semua kita sediakan dalam laporan kajian impak kepada Kabinet,”katanya.

Pada 22 Mei 2022, Mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Malaysia berikutan penarikan diri Brunei manakala Thailand dan Singapura masing-masing diberi kebenaran menganjurkan temasya itu pada 2025 dan 2029.

Sekira kerajaan bersetuju menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu, Sukan SEA 2027 menjadi kali ketujuh Malaysia menjadi tuan rumah selepas menjadi penganjur pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan