EKONOMI

Kerjaya Prospek Raih Kontrak RM292.8 Juta, Capai Sasaran RM1.5 Bilion Bagi Tahun Kewangan 2024

11/09/2024 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd (Kerjaya Prospek), Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd menerima surat lantikan untuk melaksanakan kontrak pembinaan bernilai RM292.8 juta daripada Mega Legacy (M) Sdn Bhd (Mega Legacy).

Mega Legacy adalah merupakan anak syarikat UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise).

Kontrak tersebut melibatkan pembinaan bangunan setinggi 57 tingkat dengan 1,126 unit kediaman dan struktur tempat letak kereta lapan tingkat di Mukim Batu, di sini.

Pembinaan dijadualkan bermula pada 17 Sept, 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 38 bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata kontrak terbaharu yang diperoleh daripada Mega Legacy itu membolehkan Kerjaya Prospek mencapai sasaran kontrak sebanyak RM1.5 bilion bagi tahun kewangan 2024.

“Kami gembira menerima kontrak ini daripada Mega Legacy yang meningkatkan nilai kontrak kumulatif kumpulan pada tahun ini kepada RM1.5 bilion dan mengukuhkan nilai perolehan kontrak Kerjaya Prospek kepada kira-kira RM4.7 bilion.

“Pemberian kontrak ini dijangka memberi impak positif kepada kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tee berkata projek itu mengukuhkan lagi kerjasama Kerjaya Prospek dengan UEM Sunrise yang kini sedang membangunkan bersama-sama dua lagi pembangunan kediaman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan