AM

Kad Siswa Johor Beri Manfaat Kepada 75,000 Mahasiswa

18/09/2024 05:01 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 Sept (Bernama) -- Seramai 75,000 mahasiswa di negeri ini dijangka menerima manfaat menerusi Kad Siswa Johor yang diperkenalkan kerajaan negeri bermula bulan depan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sembilan syarikat telah bersetuju untuk menawarkan diskaun sehingga 20 peratus menerusi kad itu bagi pembelian produk atau perkhidmatan mereka kepada mahasiswa anak Johor yang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), kolej komuniti dan politeknik.

Beliau berkata YPJ sebagai pengeluar kad akan membuka akaun di Bank Muamalat untuk kira-kira 25,000 mahasiswa yang menerima Skim Bantuan Pendaftaran dan pinjaman pendidikan yayasan itu. 

“Bagi mahasiswa anak Johor yang tidak menerima Skim Bantuan Pendaftaran mahupun Pinjaman Pendidikan YPJ, mereka boleh membuka akaun bagi Kad Siswa Johor di cawangan-cawangan Bank Muamalat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sembilan syarikat berkenaan di Pejabat Menteri Besar Johor di sini hari ini.

Sembilan syarikat terbabit terdiri daripada KPJ Healthcare Berhad, QSR Brands (M) Holding Bhd, Daily Fresh International Sdn Bhd, Al-Ikhlas Gadget, Woodfire Burger (M) Sdn Bhd, Farm Fresh Bhd, Badan Cemerlang Sdn Bhd, Legoland Malaysia dan Golden Screen Cinemas Sdn Bhd.

“Ini adalah urusan yang berterusan tetapi ini permulaan yang baik dengan membantu bagi diskaun yang hebat dan selepas ini, YPJ akan berusaha untuk bekerjasama dengan syarikat pengangkutan pula,” kata Onn Hafiz yang mengalu-alukan penglibatan lebih banyak syarikat.

Menerusi MoU itu, KPJ Healthcare antaranya bersetuju memberikan diskaun 20 peratus bagi semua pakej saringan kesihatan manakala Al-Ikhlas Gadjet menyediakan potongan 10 peratus untuk setiap pembelian, selain Badan Cemerlang menawarkan promosi 10 peratus bagi produk terpilih di kedai buku syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan