AM

Al-Sultan Abdullah Harap Institusi Pendidikan Islam Di Pahang Dapat Diperkasa Ke Arus Perdana

18/09/2024 06:08 PM

KUANTAN, 18 Sept (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap maahad tahfiz, madrasah dan pondok di negeri itu dapat diperkasa dengan melaksanakan pendekatan pendidikan yang akan membawa institusi pendidikan terbabit ke arus perdana.

Al-Sultan Abdullah bertitah sebagai Ketua Agama Islam di Pahang, baginda bertanggungjawab memastikan kewujudan sistem pendidikan berkualiti dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja memiliki dan menguasai ilmu tetapi juga berdaya saing mendepani cabaran serta memenuhi kehendak semasa. 

”Beta yakin dan percaya bahawa kita memerlukan pembangunan sumber manusia yang kreatif dan inovatif di samping kukuh dalam pegangan agama Islam serta memiliki jati diri yang mantap berasaskan Ahli Sunah Waljamaah.

“Dalam konteks ini, visi dan misi beta adalah bagi memastikan generasi anak-anak pelajar di maahad tahfiz, madrasah dan pondok diberikan peluang yang sama untuk berperanan secara langsung dalam memakmurkan negeri ini,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Persidangan Pengetua Dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah Dan Pondok Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah bertitah penubuhan dan pelaksanaan institusi pendidikan seperti maahad tahfiz, madrasah serta pondok memerlukan kerjasama pelbagai agensi berwajib namun proses itu bukan mudah kerana membabitkan aspek penting seperti isu keselamatan, kebakaran, kesihatan serta kebajikan pelajar yang perlu diberi perhatian bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan lancar. 

“Beta tidak mahu lagi berlaku kes-kes kebakaran seperti sebelum ini. Beta dimaklumkan antara tahun 2017 sehingga tahun 2022, sekurang-kurangnya enam kejadian kebakaran melibatkan maahad tahfiz, madrasah dan pondok telah berlaku berpunca dari masalah pendawaian elektrik,” titah baginda. 

Baginda juga bertitah antara usaha merealisasikan hasrat ke arah memperkasakan institusi pendidikan itu turut dilakukan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang melalui penubuhan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM).

Al-Sultan Abdullah bertitah IIDM bekerjasama dengan Ikatan Madrasah Pahang yang mewakili maahad tahfiz, madrasah dan pondok di negeri itu bagi melaksanakan kurikulum wajib di peringkat asas. 

“Beta berharap institut ilmu ini akan menjadi pemangkin bagi memartabatkan Negeri Pahang sebagai pusat rujukan ilmu dan peradaban Islam yang dikenali di seluruh dunia pada abad ke-21 ini,” titah baginda. 

Merujuk kepada insiden yang mengejutkan negara membabitkan isu jenayah dan penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Al-Sultan Abdullah bertitah baginda tidak akan mengizinkan perkara-perkara yang tidak bertanggungjawab serta mencemar nama baik Islam dibiarkan berlaku di Pahang. 

“Beta berdoa supaya ini tidak berlaku di Pahang. Beta tidak ingin berpanjang, memadai kita baca dalam akhbar tetapi ingin membuat sedikit peringatan supaya jauhi perbuatan seperti ini,” titah baginda. 

Baginda bertitah anak-anak bukan sahaja aset kepada keluarga tetapi juga harta berharga kepada negara serta masyarakat dan mengingatkan ibu bapa atau penjaga supaya tidak mengambil ringan akan tanggungjawab membesarkan mereka.

“Jangan kita ambil sambil lewa sahaja. Tempat tinggal tidak bersih, makanan tidak berkhasiat. Tuan-Tuan dan puan-puan, ini anak, ada ayah, ada ibu. Bukan anak ayam. Jangan kita bagi layanan seperti ini. 

“Anak ayam pun ada pembelanya ...penternak yang baik. Ini pula anak-anak kita yang sama-sama kita sayangi.  Beta harap kita sama-samalah renung dan tentukan kebajikan anak-anak kita di madrasah, maahad tahfiz dan pondok akan terpelihara sebaiknya,” titah baginda. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan